Darkmiey86

Tarzan cheetah





MEMILIKI wajah seperti bintang filem dan menjalin hubungan akrab dengan haiwan liar, Olivier Houalet adalah jelmaan watak Tarzan – tetapi dalam bentuk realiti. Namun, untuk sampai ke tahap sekarang, ia bukan pengalaman mudah.

MEMILIKI wajah seperti bintang filem dan menjalin hubungan akrab dengan haiwan liar, Olivier Houalet adalah jelmaan watak Tarzan – tetapi dalam bentuk realiti. Namun, untuk sampai ke tahap sekarang, ia bukan pengalaman mudah.

Selama 10 tahun, Houalet menghabiskan masanya dengan melatih harimau dan berikhtiar mengembalikan haiwan itu ke habitat asal di dalam hutan Namibia secara semula jadi.


Sepanjang tempoh itu, Houalet memanfaatkan masanya dengan membangunkan kaedah baru dan unik bagi menangani haiwan liar. Keberkesanan caranya menjadikan lelaki Perancis itu digelar ‘penjinak harimau bintang’.

Kadangkala, pendekatan digunakan Houalet boleh dianggap keterlaluan. Dia cuba menjalin hubungan rapat dengan harimau bintang supaya diterima sebagai sebahagian daripada kumpulan mereka.

Apabila perlu, Houalet memanggil nama harimau kumbang itu dan haiwan berkenaan segera menghampirinya.

Selepas berpuas hati harimau kumbang itu boleh dilepaskan ke hutan, Houalet akan menyertai mereka untuk memastikan haiwan liar berkenaan mampu mencari makan dengan berburu sendiri.

“Jika perlu, saya akan mengajar dan membantu harimau kumbang itu bagaimana mencari makan,” katanya.

Itulah keistimewaan jalinan hubungan di antara Houalet dan harimau kumbang – tiada unsur ugutan, ancaman atau kekasaran. Semuanya dilakukan secara aman dan saling hormat-menghormati.

Kaedah diamalkan Houalet itu juga mungkin membantu menyelamatkan ratusan harimau liar yang menjadi ‘yatim piatu’ selepas menjadi mangsa pemburu haram atau kematian disebabkan faktor semula jadi.

Namun, untuk diterima sebagai sebahagian daripada kawanan harimau kumbang, Houalet terpaksa banyak berkorban.

Katanya, setiap hari selama lapan bulan, dia menjadi pelawat setia di kandang harimau kumbang walaupun tindakannya berdepan ancaman dan cabaran daripada haiwan berkenaan.

“Mereka sentiasa mencabar saya,” katanya.

Untuk mengatasi masalah itu, Houalet, 28, mempunyai cara tersendiri – memberanikan diri dan tidak menunjukkan sebarang rasa takut di depan haiwan itu.

Sebenarnya, kata Houalet, hampir semua haiwan berbahaya, termasuk ular dan singa, hanya menyerang manusia jika mereka berasa terancam.

Katanya, tindakan menyerang lebih bersifat mempertahankan diri daripada bahaya manusia.

Justeru, di depan harimau kumbang, Houalet menampilkan dirinya lebih dominan, dihormati dan bebas daripada sikap teragak-agak.

Dari semasa ke semasa, dia melihat terus ke mata harimau kumbang itu untuk menghantar mesej dia tidak takut berdepan mereka.

“Anda perlu benar-benar yakin kerana jika tidak, haiwan dapat menghidu ketakutan anda hanya melalui pandangan,” katanya.

Houalet berkata, apabila ‘persefahaman’ berjaya dijalin dengan haiwan berkenaan, kerjanya menjadi lebih mudah.

“Jika anda mampu berfikir seperti harimau kumbang, mereka akan menerima anda sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.

“Harimau kumbang boleh memahami dan menerima jika kita membuktikan kedatangan itu bukan untuk bermusuh atau membahayakan mereka,” katanya.

Houalet meninggalkan Perancis untuk ke Afrika ketika berusia 18 tahun.

Katanya, ketika itu, dia bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impiannya memberi sumbangan terhadap kesejahteraan haiwan liar di seluruh dunia.

Pada peringkat awal, usaha Houalet hanya terhad kepada menyelamat haiwan kecil – seperti kucing – sebelum mendekatkan diri dengan dua harimau kumbang.

Selepas menghabiskan masa bertahun-tahun memerhati tingkah laku haiwan, Houalet boleh dianggap pakar dalam bidang berkenaan, walaupun tidak memiliki sijil kelayakan.

Katanya, kebanyakan saintis yang mahir mengenai harimau kumbang hanya mendapat ilmu daripada pembacaan, bukan hasil pembabitan secara langsung dengan haiwan berkenaan.

“Mereka menghabiskan masa membaca buku, tetapi saya menggunakan setiap masa untuk bersama haiwan dan kaedah berbeza ini membolehkan kami berkongsi maklumat,” katanya.

Melalui persefahaman itu, saintis menyediakan maklumat terperinci daripada aspek saintifik yang diperoleh dari makmal, manakala Houalet membantu melalui data secara langsung dikumpulnya di lapangan.

Apabila Houalet membebaskan harimau kumbang jagaannya, kejayaan diimpikan tidak menjadi pada peringkat awal.

Dia terpaksa menangkap dan membawa semula haiwan liar itu ke kandang selepas didapati ia gagal mencari makan seperti sepatutnya di dalam hutan, sebaliknya menjadikan ternakan penduduk kampung sebagai mangsa.

Jika dibiarkan, haiwan itu juga terdedah kepada ancaman bunuh oleh petani yang melindungi kawasan mereka.

Walaupun begitu, Houalet yakin kaedah diamalkannya itu adalah cara terbaik menyelamatkan harimau kumbang dan mengembalikan mereka ke dunia semula jadi.

Tanpa pengawasan secara langsung, Houalet yakin haiwan liar tidak mampu hidup lama jika dibebaskan semula daripada kurungan.

“Biasanya haiwan liar akan mati tidak lama selepas dibebaskan daripada kurungan kerana ia tidak mampu berdikari dalam hutan.

“Justeru, saya yakin cara saya lebih berkesan dan mampu menyelamatkan haiwan itu di dalam hutan,” katanya.

Cuma, dia mengakui bukan mudah mengajar harimau kumbang memburu.

Selalunya, kata Houalet, anak harimau kumbang belajar memburu kerana melihat ibu mereka mencari makan di hutan.

Jika menjadi yatim, anak harimau kumbang tidak berpeluang belajar secara semula jadi. Justeru, kata Houalet, cara terbaik adalah mengumpulkan semua anak harimau kumbang dan membesarkannya secara serentak.

“Naluri memburu semula jadi memang ada pada diri harimau kumbang dan dengan sokongan secara berkumpulan, mereka mampu belajar sendiri,” katanya.

Jika bergerak secara individu, kata Houalet, anak harimau kumbang terdedah kepada serangan pemangsa lain seperti singa atau mati kerana lapar.

“Jika secara berkumpulan, mereka dapat diajar bagaimana meneruskan hidup dalam hutan.

“Walaupun tiada jaminan semua anak harimau kumbang itu terus hidup, mereka mempunyai peluang lebih besar untuk berjaya mendepani cabaran jika bergerak berkumpulan.

“Jika mereka terbunuh juga, ia adalah lebih baik berbanding hidup terkurung,” katanya.

Ketika ini, Houalet merancang menarik penyertaan petani tempatan supaya melihat harimau kumbang sebagai haiwan peliharaan, bukan ancaman.

“Kita perlu berhenti menganggap manusia adalah tuan kepada dunia serta segala hidupan di dalamnya,” katanya.

0 Responses