Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya, Pernah Rasulullah saw apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda "(Masa) aku diutuskan dan masa berlalunya qiamat seperti dua jari ini," lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta Baginda bersabda lagi: "(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah, dan sebaik-baik jalan ialah jalan pimpinan Muhammad (saw) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara yang baharu (yang diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid'ah, dan tiap-tiap bid'ah itu sesat".Kemudian baginda bersabda lagi: "Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang, atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya, dan akulah yang menanggung hutangnya". (Muslim dan lain-lainnya)